Isnin, 6 Februari 2012

Sultanah Fatimah

Almarhumah Baginda Sultanah Fatimah merupakan isteri kepada Sultan Abu Bakar. Baginda berasal dari Canton, Negeri China juga dikenali sebagai Wong Ah Gew telah berkahwin dengan Baginda Sultan pada Disember 1885. Sultanah Fatimah telah dianugerahkan sebagai Sultanah Negeri Johor Darul Ta'zim pada 8 Julai 1886 bersamaan 5 Syawal 1303 Hijrah oleh Almarhum Baginda Sultan Abu Bakar.

Semasa Baginda menjadi Sultanah (1886-1890), Almarhum Baginda Sultan Abu Bakar sering merujuk kepada Baginda Sultanah Fatimah kerana kepekaan dan keprihatinan Baginda Sultanah dalam menangani pelbagai permasalahan di Negeri Johor pada masa itu.

Bersama-sama Almarhum Baginda Sultan Abu Bakar, Baginda Sultanah Fatimah turut menyemarakkan lagi semangat dalam membangunkan Negeri Johor dan ini telah memberikan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat jelata. Umpamanya, perkhidmatan keretapi dari Muar ke Parit Jawa (8 batu) dimulakan untuk memudahkan pengangkutan hasil keluaran dan menyenangkan perjalanan penduduk di persekitaran kawasan Muar.

Almarhum Baginda Sultan Abu Bakar begitu mengkagumi keperibadian mulia Baginda Sultanah Fatimah sehingga Baginda mengisytiharkan Bandar Muar kepada Bandar Maharani. (Gelaran Maharani ini merupakan gelaran terdahulu Baginda Sultanah Fatimah sebelum diisytiharkan sebagai Sultanah).

Baginda Sultanah Fatimah mangkat pada 24 haribulan Februari 1891 di Istana Tyersall, Singapura dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru. Untuk mengenang jasa-jasa Baginda Sultanah, Hospital Muar dinamakan dengan rasminya sebagai Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan sebatang jalan di Tanjung Emas telah dinamakan Jalan Sultanah Fatimah.

Bandar Muar Diisytiharkan Sebagai Bandar Diraja Johor

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana pada tanggal 12 Rabiul Awal 1433H bersamaan 05 Februari 2012, DYMM Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Bandar Muar atau lebih dikenali sebagai Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja Johor sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor.

Sebagai seorang warga Muar khasnya dan Johor amnya, saya amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan Johor kepada Bandar Maharani yang sememangnya layak digelar Bandar Diraja Johor.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Muar sememangnya sinonim dengan keluarga Diraja Johor yang sentiasa memelihara warisan sejarah negeri agar ianya terus gemilang.

Sebelum Sultan Ibrahim mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor, nenda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar telah berkenan mengurniakan gelaran Bandar Maharani kepada Bandar Muar pada 1887 iaitu bandar pertama di Malaysia yang diberikan sempena nama sultanah atau pemaisuri Sultan. Walaupun tidak diberikan pengisytiharan sebagai bandar diraja ketika itu, Muar sememangnya telah diiktiraf sebagai bandar diraja kerana Sultan Abu Bakar sering mencemar duli ke bandar ini bersama-sama Sultanah Fatimah dalam membangunkan Daerah Muar ketika itu.

Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab agar dapat mewujudkan sebuah muzium di Daerah Muar agar warisan sejarah negeri Johor dan Muar terus dipelihara dan diangkat tinggi oleh generasi yang akan datang.