Penafian / Disclaimer

Penafian / Disclaimer
Blog ini tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan,swasta mahupun persatuan atau pertubuhan. Blog ini bersifat peribadi sebagai medium perkongsian tentang sejarah Daerah Muar khususnya dan Negeri Johor amnya. Segala pandangan dan penulisan adalah bersifat peribadi berasaskan sumber peribadi blogmaster. Untuk rujukan lebih tepat dan benar, sila buat rujukan dari sumber rasmi dan asli.

Isnin, 12 Mac 2012

Loceng Dong Son

Selain pelbagai kisah sejarah yang berkaitan dengan Daerah Muar, terdapat juga beberapa penemuan artifak yang menjadi bukti bahawa wujud penempatan awal dan hubungan perdagangan di Daerah Muar.

Antara yang terpenting ialah penemuan Loceng Dong Son.

Loceng gangsa ini ditemui di Kampung Penchu, Muar, Johor.  Ia dipercayai berasal dari Dong Son, Utara Vietnam berdasarkan reka bentuk dan coraknya yang sama dengan loceng Dong Son yang lain. Loceng ini dianggar dihasilkan sekitar 150 Tahun Masihi, iaitu bersamaan dengan perluasaan kuasa kerajaan Funan.

Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa hanya 4 buah loceng gangsa purba ditemui di Malaysia. 3 buah daripadanya dijumpai di Klang Selangor dan sebuah lagi di Kampung Penchu, Muar ini. Loceng gangsa ini amat jarang dijumpai dan setakat ini hanya ada 10 buah loceng gangsa purba ditemui di seluruh dunia. 6 daripadanya dijumpai di Kemboja dan 4 di Malaysia termasuk satu di Muar, Johor.

Loceng gangsa Muar ini ditemui di Kampung Penchu, Kundang Ulu, Mukim Grisek pada tahun 1963. Ianya dijumpai secara tidak sengaja oleh penduduk kampung itu ketika sedang menjalankan kerja meratakan tanah. Antara fakta tentang penemuan loceng ini ialah :
  • loceng ini ditemui kira-kira 500 meter dari tebing Sungai Penchu iaitu anak Sungai Muar.
  • dijumpai pada kedalaman 1 meter.
  • tanah tempat loceng dijumpai dari jenis berpasir putih daripada tanah lumpur yang halus putih.
  • berukuran 58 cm tinggi, diameter 32 cm.
  • dihasilkan sekitar tahun 150 Masihi.
Loceng ini telah diwartakan sebagai Objek Warisan Ketara pada 16 April 2009 dengan nombor warta P.U (B) 117 dan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan kategori Objek Ketara pada 12 November 2009 dengan nombor warta P.U (A) 399 mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Loceng ini kini dipamarkan di Muzium Negara di bahagian Galeri A iaitu Sejarah Awal dan dikategorikan sebagai Koleksi Etnologi.

1 ulasan: