Ahad, 12 Ogos 2012

Bandar Maharani Muar kini berusia 125 Tahun (1887-2012)


Hari ini, 12 Ogos 2012 merupakan hari yang sangat bersejarah bagi Bandar Muar atau lebih dikenali sebagai Bandar Maharani.

Ini adalah kerana pada tahun 2012 ini merupakan Ulangtahun ke 125 Tahun Bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani.


Almarhum Sultan Abu Bakar telah membuka Bandar Muar secara rasmi pada 12 Ogos 1887 dan dinamakan BANDAR MAHARANI iaitu Bandar Isteri Maharaja.

Menurut Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh bin Perang di dalam autobiografinya bertajuk Tarikh Dato Bentara Luar Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar telah tiba di Muar dengan Kapal Pantie pada 5 Ogos 1887 bersama-sama Sultanah Fatimah dan anakanda baginda Tengku Puteri dan disambut oleh Residen Muar, Ungku Sulaiman Ungku Daud, Dato Bentara Luar bersama-sama penghulu-penghulu dan dan diadakan sambutan secara sederhana.


Tarikh Dato Bentara Luar Johor

Bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada hari Jumaat, 12 Ogos 1887 bersamaan 22 Zulkaedah 1304H dalam satu upacara ringkas di mana Almarhum Sultan Abu Bakar sendiri telah menanam 'azimat' di Tangga Batu (kawasan belakang berdekatan Stesen Bas Maharani sekarang). Almarhum Sultan Abu Bakar secara peribadi telah terlibat dalam pembukaan Bandar Maharani.

Tangga Batu - di sinilah Almarhum Sultan Abu Bakar menanam azimat dan menamakan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani

Tangga Batu merupakan pusat perhentian feri di Muar sehingga 1967. Kelihatan di belakang ialah Jambatan Sultan Ismail yang sedang dibina ketika itu

Ianya disaksikan oleh Maharani Fatimah (kemudian Sultanah Fatimah), Tengku Puteri,anakanda Maharaja Abu Bakar,Ungku Sulaiman Ungku Daud iaitu Residen Muar, Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh Perang, dan pegawai-pegawai kerajaan, ahli perniagaan Cina dan penghulu-penghulu.

Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh Perang

Dinamakan sebagai Bandar Maharani sempena gelaran isteri Maharaja Abu Bakar iaitu Maharani Fatimah yang banyak mengambil berat tentang pembangunan daerah Muar ketika itu.
Sultanah Fatimah

125 tahun selepas moyang baginda mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani, DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Diraja Johor pada hari Ahad, 5 Februari 2012 bersamaan 12 Rabiulawal 1433 di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar.

DYMM Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor Di Masjid Jamek Sultan Ibrahim pada Sambutan Maulidur Rasul 1433H
(kredit gambar dari Laman Rasmi ADUN Maharani)

Rabu, 1 Ogos 2012

Tangga Batu

Pemandangan Tangga Batu dari Masjid Jamek Sultan Ismail

Mungkin bagi sesetengah generasi sekarang, nama Tangga Batu kedengaran agak asing bagi mereka. Tetapi bagi generasi veteran, mereka tentu masih lagi dapat mengingati di mana lokasi Tangga Batu tersebut.


Di sinilah lokasi Jeti Tanjung Agas suatu ketika dahulu (2012)

Lokasi yang sama, Jeti Tanjung Agas - berbeza waktu (1955)
(kredit gambar kepada AnakMuar)

Bagi peminat sejarah seperti saya, lokasi ini punya nilai sejarah yang sepatutnya ditonjolkan. Ini kerana ianya merupakan salah satu lokasi yang mencatat peristiwa bersejarah bagi Daerah Muar.


Lokasi Tangga Batu dari Jeti Tanjung Agas

Satu ketika dahulu Tangga Batu merupakan pangkalan atau terminal yang sibuk bagi aktiviti pengangkutan air di Daerah Muar di mana di lokasi itulah perkhidmatan feri atau lebih dikenali sebagai Syarikat Feri Penambang Muar & Batu Pahat beroperasi.


Inilah lokasi Tangga Batu, di sudut atas kanan kelihatan Masjid Jamek Sultan Ismail

Dari segi sejarah, Tangga Batu merupakan tempat berlabuh kapal Almarhum Sultan Abu Bakar setiap kali baginda datang ke Muar.

Di Tangga Batu jugalah diadakan upacara menanam azimat bagi pembukaan rasmi Bandar Muar pada 12 Ogos 1887 dan diberikan gelaran Bandar Maharani bermaksud Bandar Isteri Maharaja oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Inilah tapak asal Tangga Batu, dilebarkan menjadi dataran.

Kemudian, pada sekitar tahun 1890, sekumpulan penduduk dari Tanjug Gading datang mengadap Almarhum Sultan Abu Bakar bagi meminta kebenaran menjalankan perkhidmatan feri atau Penambang dari Tanjung Agas ke Bandar Maharani. Bermula dari tarikh itu sehinggalah pada tahun 1967, Tangga Batu telah dijadikan lokasi bagi pangkalan atau terminal perkhidmatan Penambang yang dikenali sebagai Jeti Penambang Muar.


Kesan-kesan tangga di sini masih boleh dilihat


Mungkin suatu ketika dahulu batu ini menjadi tempat berlabuh Feri Muar

Kemudian pada tahun 1895, Almarhum Sultan Abu Bakar telah berkenan mengadakan sambutan Hari Kerajaan yang pertama di luar Johor Bahru dan terakhir bagi baginda sebelum mangkat.

Baginda telah berangat tiba di Muar pada 16 Februari 1895 melalui Tangga Batu dan diberikan sambutan diraja sebelum berangkat ke Balai Kuning (bangunan Mahkamah Muar lama) untuk majlis rasmi seterusnya.

Pada 16 April 1967 dengan pembukaan rasmi Jambatan Sultan Ismail oleh Almarhum Sultan Ismail, maka perkhidmatan Penambang juga telah ditamatkan.

Pemandangan Jambatan Sultan Ismail dari Jeti Tanjung Agas. Jambatan ini mencipta & menguburkan sejarah

Sejak dari tarikh itu, Tangga Batu semakin dilupakan dan hanya menjadi persinggahan kaki pancing dan nelayan tempatan. Dengan terbinanya Terminal Bas dan Teksi Bandar Maharani di kawasan tersebut, maka Tangga Batu semakin terpinggir dan tiada lagi kedengaran suara-suara riuh rendah orang ramai semasa menunggu bot penambang. Kini hanya kedengaran bunyi enjin bas dan kereta sewa yang membingitkan di belakang Tangga Batu.

Di belakang tapak Tangga Batu terdiri Hentian Maharani


Kelihatan lokasi Tangga Batu di belakang...semakin terpinggir & dilupakan

Oleh kerana nilai sejarah yang tinggi, maka sewajarnya lokasi Tangga Batu diiktiraf dan sepatutnya dijadikan satu mercutanda yang penting dalam lipatan sejarah Daerah Muar.


Lokasi yang sama - berbeza waktu (1967)

Lokasi yang sama - berbeza waktu (2012)

Diharap, pihak pihak berwajib dapat mendirikan sebuah batu peringatan berhampiran Tangga Batu bagi memperingati sejarah yang pernah terlakar di lokasi tersebut suatu ketika dahulu.