Isnin, 10 September 2012

Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor Ke-54 di Muar Bandar Diraja

Muar sekali lagi bakal melakar peristiwa penting dalam lipatan sejarah Johor apabila DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan & Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim akan menyambut Hari Keputeraan baginda yang ke-54 pada November ini di daerah ini, sekali gus mengisytiharkan secara rasminya bandar ini sebagai Bandar Diraja.

Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji Abdul Rahman Dewam berkata, tarikh dan tempat sambutan bagi dua acara penting yang dianjur serentak itu akan diumumkan selepas baginda memutuskan perkara berkenaan tidak lama lagi.

"Untuk itu semua kakitangan kerajaan, pemimpin parti politik dan rakyat khususnya di Muar perlu menyahut dan memberi sokongan padu dengan pengisytiharan bandar Muar yang sebelum ini dikenali sebagai Bandar Maharani menjadi Bandar Diraja.

"Ini merupakan satu penghormatan bagi penduduk di Muar kerana bertuah dipilih sebagai Bandar Diraja yang telah diisytiharkan awal tahun ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

ABDUL Rahman Dewam (kiri) dan Amran Abd. Rahman menandatangani dokumen untuk serah terima tugas sebagai Pegawai Daerah Muar pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, baru-baru ini.
________________________________________________________________________________

Pada majlis tersebut turut diadakan acara serah tugas daripada bekas Pegawai Daerah, Amran Abd. Rahman yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Johor Bahru pada Julai lalu kepada Abdul Rahman.

Desas desus pengisytiharan bandar Muar sebagai Bandar Diraja telah kedengaran apabila DYMM Sultan Ibrahim pernah bertitah akan mengumumkan berita gembira kepada rakyat di Muar ketika penutupan Kembara Mahkota Johor pada tahun 2011 di Muar, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan sehinggalah ianya diumumkan sempena Sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari 2012.

Bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada hari Jumaat, 12 Ogos 1887 bersamaan 22 Zulkaedah 1304H dalam satu upacara ringkas di mana Almarhum Sultan Abu Bakar sendiri telah menanam 'azimat' di Tangga Batu (kawasan belakang berdekatan Terminal Maharani sekarang).