Isnin, 1 Oktober 2012

Nagarakretagama

Sejarah Muar sememangnya unik dan sudah pun wujud sejak zaman berzaman. Bukti sejarah menunjukkan bahawa Muar telah lama wujud sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka dan kewujudan Muar sebaris dengan kerajaan terdahulu sebelum Melaka seperti Langkasuka, Kedah dan Temasik (Singapura). Antara bukti tersebut dijelaskan dalan sebuah manuskrip terawal zaman Majapahit yang diberi nama Nagarakretagama.

Nagarakretagama merupakan puisi Jawa kuno yang menerangkan keadaan di kraton Majapahit ketika tempoh pemerintahan Hayam Wuruk, raja agung di tanah Jawa dan juga Nusantara. Beliau bertakhta dari tahun 1350 sampai 1389 Masehi. Pada kemuncak kegemilangannya, kerajaan Majapahit merupakan kerajaan terbesar yang pernah wujud di Nusantara.

Nagarakretagama menceritakan pelbagai perkara dalam rangka penulisan sejarah tentang Majapahit dalam abad ke empat belas, diantaranya tentang kehidupan sosial-politik, keagamaan, kebudayaan, adat-istiadat dan kesusasteraan.

Naskhah ini ditemui di Istana Cakranegara di Pulau Lombok pada 1894 ketika tentera Belanda menceroboh serta memusnahkan sebahagian istana itu. Naskhah ini dan beberapa naskhah lain sempat diselamatkan oleh Dr. J.L.A Brandes daripada dibakar oleh tentera Belanda.

Manuskrip Asal Nagarakretagama


Manuskrip asal tersimpan di Universiti Leiden sehingga dikembalikan kepada Indonesia semasa lawatan Pemaisuri Juliana pada tahun 1973 dan kini di simpan di Perpustakaan Negara Indonesia.

Pada bulan Mei 2008, UNESCO telah memperakui bahawa Nagarakretagama adalah sebahagian Memori Dunia bagi Asia Pasifik.

Nagarakretagama terdiri daripada 98 pupuh atau bab. Daripada 98 bab ini, ianya dibahagikan pula kepada 2 bahagian. Bahagian I terdiri dari Bab 1-49 manakala Bahagian II terdiri dari Bab 50-98.

Tajuk asalnya adalah Desawarnana bermaksud Sejarah Desa-Desa. Ahli arkeologi telah menamakan sebagai Nagarakretagama bermaksud Sejarah Pembentukan Negara.

Nagarakretagama selesai ditulis pada bulan Aswina tahun Saka 1287 bersamaan bulan September – Oktober 1365 Masehi.

Penulisnya ialah Dang Acarya Nadendra yang menggunakan nama samaran Prapanca. Beliau merupakan bekas pembesar urusan agama Budha di istana Majapahit. Beliau adalah putera dari seorang  pejabat istana di Majapahit . Penulis telah menyelesaikan naskhah ini di usia tuanya dalam pertapaan di lereng gunung di sebuah desa bernama Kamalasana.

Sebahagian manuskrip Nagarakretagama


Apa yang menarik perhatian adalah dalam pupuh atau bab ke 13 & 14, disenaraikan kawasan yang menjadi taklukan atau jajahan Majapahit ketika itu dan MUAR disebut secara berasingan dengan Johor dan lain-lain kawasan. Ini menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman kawasan MUAR sudah pun wujud dan mungkin mempunyai pemerintahan tersendiri sebelum penaklukan itu.

Berikut merupakan terjemahan bab ke 13 & 14 daripada naskhah Nagarakretagama :

Pupuh/Bab 13
   1. Terperinci pulau Negara bawahan, paling dulu M’layu, Jambi, Palembang, Toba dan Darmasraya pun ikut juga disebut Daerah Kandis, Kahwas, Minangkabau, Siak, Rokan, Kampar dan Pane.

   2. Lwas dengan Samudra (samudra Pasai) serta Lamuri, Batan(Bentan), Lampung dan juga Barus. Itulah terutama Negara-negara melayu yang telah tunduk. Negara-negara di Pulau Tanjungnegara(Pulau Borneo); Kapuas-Katingan, Sampit, Kota Lingga, Kota Waringin, Sambas, Lawai ikut tersebut.

Pupuh/Bab 14
   1.  Kandandangan, Landa, Samadang dan Tirem tak terlupakan. Sedu (Sarawak), Barune (Brunei), Kalka, Saludung (Manila), Solor(Pulau Sulu) dan juga Pasir. Barito, Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei. Malano tetap yang terpenting di pulau Tanjungpura.

   2. Di Hujung Medini (Semenanjung Tanah Melayu), Pahang yang disebut paling dahulu. Berikut Langkasuka, Saimwang, Kelantan, serta Trengganu Johor, Paka, MUAR, Dungun, Tumasik(Singapura), Kelang (Lembah Kelang) serta Kedah. Jerai (Gunung Jerai), Kanjapiniran, semua sudah lama terhimpun.
   3. Disebelah timur Jawa, seperti yang berikut: Bali dengan Negara yang penting Badahulu dan Lo Gajah. Gurun serta Sukun, Taliwang, Pulau Sapi, dan Dompo. Sang Hyang Api, Bima, Seran, Hutan Kendali sekaligus.
   4. Pulau Gurun, yang juga biasa disebut Lombok Merah. Dengan daerah makmur Sasak diperintah seluruhnya. Bantalayan di wilayah Bantayan beserta Kota Luwuk. Sampai Udamaktraya dan pulau lain-lainnya tunduk.
 Peta menunjukkan jajahan takluk Kerajaan Majapahit pada kurun ke-14 Masihi