Selasa, 25 Disember 2012

Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah Binti Haji Hashim

Daerah Muar sememangnya melahirkan banyak tokoh dalam pelbagai bidang. Mereka bukan sahaja terkenal di dalam negara malah mengharumkan nama di persada antarabangsa.

Penglibatan seorang tokoh pemimpin wanita yang tidak asing dalam perjuangan kemerdekaan negara dan perjuangan memajukan penglibatan wanita dalam politik merupakan detik-detik dalam sejarah politik negara. Tokoh yang dimaksudkan, tidak lain tidak bukan, Allahyarhamah Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah Binti Haji Hashim.


Kehidupan Awal 

Allahyarhamah Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah Binti Haji Hashim dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Kampung Parit Keroma, Muar, Johor dan telah mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu Lelaki Kampung Parit Keroma dan kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Melayu Perempuan Mersing.

Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Murid Perempuan, Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, Ketua Murid Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek.

Pendidikan

Beliau pernah menerima latihan perguruan yang dihadirinya pada tiap-tiap hari Sabtu di Sekolah Perempuan Mersing selama dua tahun, tetapi beliau tidak mendapat peluang menjadi guru kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua. Walaupun begitu, beliau pernah mengajar di Sekolah Perempuan Mersing bagi menggantikan guru-guru yang bercuti atau sakit.

Politik

Tun Fatimah mula menceburkan diri dalam arena politik pada tahun 1947 sebagai seorang ahli dalam UMNO dengan memakai nombor 315. Pada tahun 1948 beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Cawangan Kaum Ibu Kampung Nong Chik Johor Bahru yang ditugaskan mengutip yuran dan mencari ahli. Di samping itu beliau pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha UMNO Cawangan Johor Bahru (Ketika itu Y.Bhg. Datin Suhaila sebagai Setiausaha) dan pernah menjadi wakil Kaum Ibu UMNO.

Beliau kemudiannya telah berpindah ke Kota Tinggi kerana mengikut suami beliau sebagai Majistret dan semasa di sana beliau mendapat kepercayaan menjadi Naib Ketua Kaum Ibu UMNO Kota Tinggi. Di sana beliau sempat membuka kelas dewasa yang diadakan di rumah beliau sendiri untuk membantu penduduk-penduduk yang buta huruf. Di antara tahun 1951-1953, beliau telah memegang jawatan Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu UMNO Johor.

Allahyarhamah Tun Fatimah bersama suaminya Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan lima dari enam anak-anak mereka

Usaha-usaha beliau ini terpaksa diberhentikan kerana mengikut suami beliau melanjutkan pelajaran ke England. Setelah pulang dari luar negara pada bulan Jun 1955, beliau aktif semula dalam politik (kali ini di Negeri Perak) dan sama-sama terlibat dalam kempen pilihanraya dan menjadi wakil Parti Perikatan untuk menjaga pengundi-pengundi dalam piliharaya yang diadakan pada bulan Julai 1955. Sekali lagi selepas itu pemimpin-pemimpin UMNO negeri datang menemui beliau dan meminta jasa baik beliau supaya menyusun semula Pergerakan Kaum Ibu UMNO kawasan Ipoh dan beliau telah dipilih menjadi ketua. Beliau kemudiannya dipilih pula untuk memimpin pergerakan UMNO Negeri Perak dalam mesyuarat perhimpunan Agong pada bulan April 1956.

Menteri Wanita Pertama

Pada penghujung tahun 1958, beliau telah mengikut suami beliau bertugas di Kedah Beliau telah bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Jitra/Padang Terap dan menjadi ahli parlimen kawasan tersebut sehingga 20 Mei 1969. Beliau juga telah dilantik menjadi menteri wanita yang pertama dalam Kerajaan Malaysia dengan memegang portfolio Menteri Kebajikan Am dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973.

Kerja-Kerja Kebajikan

Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial terutamnya dalam pertubuah wanita. Pada tahun 1962, sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau telah memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos. Perayaan tersebut disambut sehingga hari ini. Setahun selepas pelancaran Hari Wanita, diputuskan supaya sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita ditubuhkan, antara lain, menjadi urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani pesoalan-persoalan wanita semasa. Badan tersebut diberi nama Majlis Kebangsaan Petubuhan-pertubuhan Wanita atau National Council of Women’s Organisations (NCWO).  Beliau adalah pengasas pertubuhan tersebut dan menjadi Yang Di Pertua pada tahun 1965 dan menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989. Melalui pertubuhan ini banyak usaha yang telah beliau jalankan bagi memperbaiki kedudukan dan taraf wanita di negara ini . 

Allahyarhamah Tun Fatimah (lima dari kiri) ketika sambutan Hari Wanita Kebangsaan di Kota Bharu pada 1973

Beliau juga telah menjadi Ahli Majlis Universiti Malaya, Ahli Jawatankuasa Hospital Assunta, Ahli Jawatakuasa Sekolah Latihan Wanita Ipoh, Ahli Jawatankuasa Perikatan Peringkat Malaya dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pepaduan Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pernah dilantik Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, dengan sedirinya beliau menjadi Naib Yang Dipetua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik.

Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Tun Fatimah seringkali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam mahupun di luar negara. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa dalam tahun 1965 di Tehran. Pada tahun 1963, beliau telah membuat lawatan sambil belajar selama dua bulan ke Amerika Syarikat dan sebagai Menteri Kebajikan Am, beliau telah membuat lawatan ke negara-negara jiran, misalnya ke Indonesia. Sebagai Presiden NCWO juga, beliau telah mengikuti beberapa persidangan wanita antarabangsa.

Anugerah & Penghargaan

Pada 31 Ogos 1958 sempena merayakan kemerdekaan pertama, beliau telah dianugerahkan Bintang Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri seterusnya merupakan wanita pertama di negara ini yang mendapat gelaran Tan Sri. Universiti-universiti tempatan juga telah memberi penghormatan kepada beliau seperti Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya pada tahun 1975 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidkan oleh UTM pada tahun 2000. Sebelum itu, pada tahun 1995, UTM telah melantik beliau sebagai Pro-Canselor. Pada tahun 2003, beliau telah dikurniai darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong yang membawa gelaran ‘Tun’. Anugerah-anugerah ini adalah sebagai penghargaan di atas jasa dan sumbangan beliau di arena politik tanah air dan aktiviti kebajikan masyarakat khususnya bagi wanita.

Perginya Sebutir Mutiara

Pusara Allahyarhamah Tun Fatimah bersebelahan pusara suaminya Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur (gambar dipetik dari http://tengkusyah.blogspot.com/)

Beliau menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 11.35 malam 9 Januari 2010 ketika berusia 85 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur bersebelahan pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusoff iaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dan Pembangunan Negara. Beliau meninggalkan enam anak iaitu Mariam, Mohamed Shah, Khalid, Ali, Abdul Karim dan Faridah selain 18 orang cucu serta 13 orang cicit.