Sabtu, 24 Ogos 2013

Program '1 Daerah 1 Muzium' di Johor

NUSAJAYA - Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif mewujudkan program 'Satu Daerah Satu Muzium' sebagai usaha memelihara warisan dan budaya di negeri ini.
  
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata program itu memberi keutamaan kepada daerah yang masih belum mempunyai muzium atau galeri dengan dimulai pembinaan Memorial Datuk Usman Awang di Kota Tinggi, Muzium Pagoh dan Muzium Diraja Bandar Maharani di Muar.
  
"Memorial Datuk Usman Awang kini dalam peringkat penyediaan pelan cadangan. Ia dijangka melibatkan kos berjumlah RM1.5 juta, dimulakan tahun depan dan siap pada 2016," katanya pada sesi penggulungan membahaskan titah perasmian Sultan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.
  
Zulkurnain berkata Muzium Pagoh yang melibatkan kos RM17.3 juta pula kini di peringkat menunggu peruntukan, pengumpulan maklumat serta pengisian dalam muzium manakala Muzium Diraja Bandar Maharani yang melibatkan kos RM4.5 juta sedang dalam tindakan pelan cadangan.
  
Beliau berkata sehingga kini YWJ memiliki empat muzium iaitu Muzium Tokoh dan Galeri Seni di Johor Baharu, Muzium Kota Tinggi serta Galeri Datuk Onn di Batu Pahat.
  
Zulkurnain berkata YWJ juga akan menubuhkan jawatankuasa khas warisan negeri bagi mempertimbangkan monumen dan tapak bersejarah di negeri ini untuk tujuan pemuliharaan bangunan.
  
Beliau berkata pada masa kini terdapat 208 bangunan bersejarah yang dikenal pasti di seluruh negeri. - Bernama