Isnin, 31 Mac 2014

Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamed Yasin


Daerah Muar sejak dari zaman berzaman telah dilimpahi dengan tokoh-tokoh berwibawa dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, politik, seni dan agama.



Tahukah anda, pada hari pertama Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959, dua orang anak kelahiran daerah Muar telah dipilih sebulat suara oleh ahli kedua-dua dewan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat & Yang Dipertua Dewan Negara.



Dua anak kelahiran Daerah Muar itu ialah Tan Sri Haji Mohamed Noah bin Omar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Yang Berhormat Senator Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamed Yasin pula sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.



Allahyarham Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamed Yasin merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara yang pertama telah dilahirkan di Muar, Johor dalam bulan November 1891.



Beliau merupakan keturunan Keluarga Orang Kaya Ahat yang berasal daripada Padang, Muar. Dato' Abdul Rahman Yassin juga mempunyai darah keturunan Bugis yang berasal dari kerabat Raja Chempa Bugis yang pernah membina kerajaan di Bukit Mor, Muar. Raja Chempa Bugis ini dikatakan mempunyai dua orang waris iaitu Daeng Seriok dan Daeng Indera Perma. Beliau adalah dari susur galur Daeng Indera Perma.



Dato' Abdul Rahman Yassin berkahwin dengan sepupu beliau, Zaharah binti Abu Bakar pada tahun 1911. Mereka dikurniakan sembiIan orang anak, empat lelaki dan lima perempuan. Mereka ialah Dato' Suleiman, Tun Dr. Ismail, Abdullah, Yassin, Khatijah,Esah, Rafeah, Zubaidah dan Fatimah.



Beliau telah menerima pendidikan rendah di Muar dan di Johor Baharu dan telah menamatkan persekolahannya di Raffles Institution Singapura. Kemudian dalam tahun 1910, beliau menyertai jawatan Kerajaan.



Dalam tahun 1919 beliau telah dilantik sebagai Jawatan Tadbir Negeri Johor dan telah memegang beberapa jawatan tinggi termasuklah jawatan Bendahari Negeri Johor, dalam tahun 1935 dan Pesuruhjaya Daerah Muar, dalam tahun 1941.



Beliau telah berkhidmat sebagai AhIi Majils Mesyuarat Negeri Johor selama lapan tahun dan sebagai ahli Majlis Menteri, Johor daripada tahun 1943 sampai 1955 dan juga sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor daripada tahun 1949 hingga 1955.



Di dalam bidang politik, beliau mempunyai perasaan cintakan tanah air yang tinggi. Pada akhir 1945, beliau telah menubuhkan Persatuan Melayu Johor yang bergabung dengan Lembaga Kesatuan Melayu Johor menentang Malayan Union.



Satu memorandum bantahan telah dirangka dan ditandatangani pada Februari 1946 sebagai bantahan rasmi kepada Pejabat  Tanah jajahan London dan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang telah menandatangani Malayan Union secara paksa oleh Sir Mac Michael.



Memorandum bantahan ini telah ditandatangani oleh tujuh orang iaitu, Abdul Rahman Muhammad Yasin, Hj Hassan Yunus, Kosai Muhammad Salleh, Dr Awang Hassan, Ahmad Sulaiman, Safiah Sulaiman dan Sulaiman Abdul Rahman. Mereka kemudiannya dikenali sebagai Orang Tujuh yang menentang Sultan Ibrahim kerana telah menandatangani Malayan Union.



Dato’ Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada 7 orang wakil UMNO dalam Sidang Pleno Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 bagi menggantikan Perlembagaan Malayan Union. Sidang Pleno ini juga dianggotai oleh wakil kerajaan Inggeris dan DYMM Raja-raja Melayu.



Dalam tahun 1959 Dato Haji Abdul Rahman telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi Ahli Dewan Negara selama enam tahun dan telah dipilih dengan sebulat suara oleh ahli Dewan Negara menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang pertama.



Dato' Abdul Rahman Yassin yang dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara pada 1959 dan tamat tempoh perlantikan tersebut pada Ogos 1965. Pada 18 Oktober 1965 beliau sekali lagi telah dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara untuk kali kedua. Pada 31 Disember 1968, Dato Abdul Rahman meletakkan jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara walaupun tempoh lantikan beliau sehingga Septemher 1971.



Tokoh politik dan negarwan terbilang ini telah kembali ke rahmatullah pada 24 Mei 1970. Beliau meninggalkan legasi yang cukup besar dalam pemerintahan negara apabila anak-anaknya juga berjaya dalam pendidikan dan kerjaya politik. Antara anak-anaknya yang terkenal ialah Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Allahyarham Dato Sulaiman Abdul Rahman, Menteri Kerajaan Tempatan dalam kabinet pertama Tunku Abdul Rahman setelah kemerdekaan.



Sesungguhnya jasa beliau dalam mempertahankan kedaulatan negara terutamanya ketika menentang Malayan Union harus diteladani generasi muda hari ini agar tidak sekali-kali menggadaikan maruah negara dari dijajah. Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dilimpahi rahmat oleh Allah.



Sumber:
  • Buku Pejuang Terbilang Johor, Yayasan Warisan Johor (YWJ)
  • Tun Dr. Ismail: Biografi & Peranan Di Awal Kemerdekaan (1951-1959), Malaysia Dari Segi Sejarah