Ahad, 19 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri berangkat ke jamuan teh

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR disaksikan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (kiri) berkenan merasmikan Karnival JCorp 2015 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam. Turut hadir Mohamed Khaled Nordin dan Kamaruzzaman Abu Kassim (dua dari kanan). MINGGUAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 18 April – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat ke majlis jamuan teh bersama rakyat di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Majlis itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac lalu.

Mengiringi keberangkatan baginda ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; puterinya, Tunku Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; barisan Exco kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Pada majlis tersebut, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada golongan kurang bernasib baik.

Baginda turut menyampaikan sumbangan KPJ Johor Corporation iaitu 10 kerusi roda dan katil selain menyerahkan sumbangan Mutiara Johor Corporation kepada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebanyak RM10,000.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Johor mencemar duli bersalaman dan beramah mesra dengan pengunjung di khemah utama.

Terdahulu, sebelum menyertai jamuan teh bersama rakyat, Sultan Johor berkenan merasmikan Karnival JCorp yang diadakan sempena istiadat itu di dataran berkenaan.

Baginda kemudiannya melawat balai khas pameran dan sejarah Kemahkotaan Sultan Johor.

Pada sebelah pagi, Sultan Ibrahim menyaksikan perlawanan akhir Pertandingan Futsal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Gelanggang Futsal Muar yang dimenangi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Selepas itu baginda melawat Karnival Road To Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2015 di Jalan Maharani dan mengambil kesempatan beramah mesra dengan orang ramai termasuk melawat gerai-gerai di situ.

Sementara itu, turut berlangsung sempena Karnival Jcorp ialah program Semarak Jawi yang menggunakan akhbar Utusan Melayu Mingguan sebagai medium aktiviti yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat gergasi itu bagi memastikan generasi muda celik jawi dan memeliharanya sebagai warisan.

Peserta Semarak Jawi dalam kalangan pelajar sekolah itu perlu mempunyai kemahiran membaca tulisan jawi dan menyelesaikan soalan berdasarkan maklumat-maklumat dalam Utusan Melayu Mingguan dan balai khas pameran serta sejarah Kemahkotaan Sultan Johor.

Hadiah kepada pemenang Semarak Jawi akan disampaikan oleh Razali esok yang merupakan hari terakhir Karnival JCorp yang disertai 22 anak syarikat konglo­merat negeri itu.

-sumber Utusan Malaysia Online, 19 Mac 2015

Isnin, 13 April 2015

Tiga Karnival Meriahkan Sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Muar

MUAR, 10 April (Bernama) -- Tiga karnival bakal memeriahkan sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Daerah Muar selama tiga hari bermula 17 April ini, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar, Ramlee A. Rahman.

Beliau berkata karnival itu adalah Karnival Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPNKK) peringkat negeri, Karnival Johor Corporation dan Karnival Jambatan Sultan Ismail.

"Karnival HPNKK akan diadakan di Jalan Maharani, Karnival Johor Corporation pula di Dataran Tanjung Emas dan Karnival Jambatan Sultan Ismail hanya pada 18 April," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata bagi Karnival Jambatan Sultan Ismail, ia akan diadakan di atas jambatan selama 13 jam apabila ditutup untuk lalu lintas dari pukul 3 petang hingga 3 pagi pada 18 April.

Katanya antara pengisian program Karnival HPNKK ialah persembahan kebudayaan, pelbagai pertandingan, forum perdana, seminar, persembahan termasuk konsert artis tempatan dan sukan rakyat.

Menurutnya bagi Karnival Johor Corporation pula melibatkan pameran dan jualan produk, kempen pemeriksaan kesihatan percuma, festival kebudayaan, motivasi, persembahan ghazal dan pertandingan akhir futsal antara pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.

"Antara kemuncak sambutan Kemahkotaan Sultan Johor di Muar ialah apabila Sultan Johor berkenan mencemar duli berangkat menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat pada pukul 3 petang di Dataran Tanjung Emas," katanya.

Ramlee berkata rakyat berpeluang bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dari dekat pada jamuan teh rakyat itu.

Beliau berkata bagi Karnival Jambatan Sultan Ismail, ia akan menempatkan lebih 40 gerai di atas jambatan tetapi tidak dibenarkan menjual makanan dan orang ramai berpeluang melihat pertandingan bot berhias serta pertunjukkan bunga api.

--sumber: BERNAMA, 10 April 2015