Khamis, 10 September 2015

Sambutan 100 Tahun Muar (1884-1984)

 

Sambutan 100 Tahun Muar (1884-1984) telah diadakan bermula pada 9 September 1984, bersempena 100 tahun Muar dibuka oleh Dato Bentara Luar, Muhammad Salleh Bin Perang semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar (1862-1895).

Sambutan yang diadakan selama 3 hari bermula 9 September 1984 hingga 11 September 1984 ini telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika itu yang juga Sultan Johor iaitu Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Turut berangkat pada majlis sambutan tersebut ialah Raja Permaisuri Agong yang juga Sultanah Johor ketika itu, Sultanah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad.

Sambutan dimulakan dengan keberangkatan Yang Dipertuan Agong dengan menaiki helikopter. Seterusnya majlis diteruskan bacaan doa dan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Bangsa Johor. Kemudian acara deklamasi sajak bertajuk Muar Berusia Satu Abad telah disampaikan oleh Nuri Angkasa beserta pertunjukan silat.

Selesai acara deklamasi sajak dan pertunjukan silat, majis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pegawai Daerah Muar. Kemudian majlis diteruskan dengan titah perasmian oleh Yang Dipertuan Agong seterusnya merasmikan Sambutan 100 Tahun Muar dengan simbolik memukul gong serta pelepasan burung dan juga belon sambutan tersebut.

 


Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah serta penyampaian cenderamata oleh baginda. Kemudian bacaan doa kesyukuran telah dibacakan oleh Timbalan Mufti Johor. Baginda berkenan melawat pameran yang diadakan sempena sambutan tersebut. Antara bahan pameran yang menjadi tumpuan ialah Lembing Awang Pulang Ke Dayang serta duit kertas semasa pendudukan Jepun.

Baginda juga berkenan menandatangani buku pelawat sempena sambutan tersebut di samping majlis penyampaian buku Sejarah Ringkas Muar oleh Dato' Hj Abdul Shukor Ismail dan Sejarah Johor. Majlis diakhiri dengan santapan ringan.

Pada 10 September 1984 pula diadakan acara sukan laut seperti pertandingan menyelam paling lama dan pertandngan bot laju. Pemandanga waktu malam di Bandar Muar pula dihiasi lampu dengan tulisan 100 TAHUN MUAR. Antara bangunan yang mengambil bahagian ialah Bangunan UMNO Bahagian Muar Pagoh, Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan bangunan Hong Kong & Shanghai Bank. Selai itu juga pelbagai acara dijalankan pada waktu malam seperti acara jamuan rakyat, persembahan nyanyian lagu moden dan lagu asli serta tarian serta bacaan syair.

Seterusnya sambutan diteruskan pada hari ketiga dan terakhir iaitu pada 11 September 1984 dengan pertandingan memancing ikan serta pertandingan melukis bagi kanak-kanak. pertandingan gasing pangkah serta majlis penyampaian hadiah. Acara kemuncak pada waktu malam ialah pertunjukan kereta dan bot berhias di sepanjang Sungai Muar bermula jam 9 malam serta diselitkan dengan acara perbarisan serta tarian singa.

Sesungguhnya, Sambutan 100 Tahun Muar pada tahun 1984 telah diadakan dengan penuh meriah dan warna warni sempena memperingati pembukaan Muar pada 1884 atas titah Almarhum Sultan Abu Bakar. Sepanjang tempoh satu abad tersebut, Muar telah berkembang pesat sebagai sebuah bandar kedua terpenting dalam negeri Johor selepas Bandaraya Johor Bahru dan diberi gelaran baharu oleh DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar iaitu Bandar Maharani Bandar Diraja pada tahun 2012.

- sumber Arkib Negara Malaysia